LIMBANG: Pengetahuan dan kemahiran terkini berhubung peranan teknologi dalam meningkatkan dan mempelbagaikan hasil tani semakin penting dalam menentukan kejayaan usahawan tani semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang berkata golongan petani tidak lagi dapat bergantung kepada kaedah konvensional pertanian.
Justeru beliau menyeru mereka mengambil peluang dalam segala kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian untuk meningkatkan kemahiran menggunakan teknologi dalam meningkatkan hasil pengeluaran pertanian.
Paulus menjelaskan demikian sewaktu merasmikan Agriculture Community Outreach Programme” (AgriCOP) siri empat di Rumah Letan, Kampung Tinting Melanjan semalam.
“Kemahiran teknologi terkini ini adalah penting bagi memastikan keluarga tani dan peserta mengetahui kaedah yang betul dalam mengeluarkan hasil dan produk tani mengikut standard di pasaran.
Oleh itu kursus yang diadakan adalah tepat dan bersesuaian dengan keperluan keluarga tani di kawasan Batu Danau.
Program AgriCop dilihat sebagai platform membantu keluarga tani dan peserta untuk meningkatkan lagi pengetahuan berhubung kaedah yang betul dalam menghasilkan produk tani berkualiti.
Pada masa sama hasil pengeluaran yang berkualiti dapat menjana pendapatan ekonomi keluarga tani.
Turut hadir, Pegawai Pertanian (Pembangunan) Limbang Jakaria Ramli dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tinting Melanjan Tuai Rumah Letan.
Oleh Adeng Edrus