

ANGGOTA bomba memadam api kebakaran yang memusnahkan sebuah kenderaan terbiar di Jalan Sungai Plan, Kidurong di Bintulu pada lewat malam Isnin.
BINTULU: Sebuah kenderaan lama jenis Proton Pesona yang ditinggalkan di kawasan Apartment Emart, Jalan Sungai Plan, Kidurong di sini musnah sepenuhnya dalam kebakaran malam tadi.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 11.54 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah kenderaan Proton Pesona lama yang terbiar dan terbakar 100 peratus,” katanya.
Anggota bomba seterusnya melaksanakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dan api berjaya dikawal pada 12.06 tengah malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12.12 tengah malam.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.
Oleh Carolyne Utih