
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menyemarakkan sambutan Perayaan Kuih Bulan dengan mengadakan program pengagihan kuih bulan kepada penduduk dan peniaga kecil di bawah pentadbirannya.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng bersama Timbalan Datuk Bandar, Dato Zaiedi Suhaili, ahli majlis serta kakitangan MBKS turun padang mengedarkan kuih bulan kepada penduduk Flat KMC serta penjaja di beberapa pasar dan pusat penjaja di kawasan MBKS.

Program tersebut diadakan bagi meraikan Perayaan Kuih Bulan sambil mengeratkan hubungan antara pihak majlis dan komuniti setempat. Suasana ceria serta mesra terjalin sepanjang program dengan gelak tawa dan semangat kebersamaan yang jelas terpancar.
Menurut Dato Wee, walaupun perayaan tersebut berakar daripada tradisi masyarakat Cina, nilai-nilai yang dibawanya seperti kesyukuran, perpaduan dan kebersamaan adalah bersifat sejagat serta dikongsi oleh semua rakyat Sarawak.

“Makanan dan budaya mempunyai kuasa untuk menyatukan masyarakat. Melalui program seperti ini, kita memupuk semangat muhibah, persahabatan dan saling menghormati bagi memastikan tiada siapa yang tersisih. Inilah yang menjadikan Kuching Selatan bandar yang penyayang dan bersatu,” katanya.
Beliau menambah pihak MBKS akan terus menganjurkan program komuniti yang memperkukuh perpaduan sosial dan meraikan kepelbagaian budaya sebagai cerminan komitmen berterusan majlis membina masyarakat yang harmoni dan inklusif.