
LUNDU: Terletak di Telok Nibong, kira-kira satu jam 50 minit pemanduan dari bandar raya Kuching, Osuka Beach kini menjadi tumpuan baharu pelancong tempatan yang ingin menikmati keindahan pantai sambil berehat dalam suasana semula jadi yang mendamaikan.
Pantai yang terletak di kawasan pesisir barat daya Sarawak ini menampilkan pemandangan laut luas dengan pasir keperangan yang bersih serta deretan pokok kelapa yang melambai ditiup angin laut, menjadikan suasananya sesuai untuk beriadah dan menenangkan fikiran.

Selain keindahan pantai, kawasan sekitarnya turut dikelilingi kawasan hijau semula jadi dan pokok bakau yang berfungsi melindungi pesisir daripada hakisan serta menjadi habitat semula jadi pelbagai spesies kecil marin.
Ia turut menambah nilai ekologi kawasan tersebut, menjadikannya lokasi sesuai bagi pencinta alam dan aktiviti luar seperti fotografi, perkhemahan serta pemerhatian alam.

Bagi yang ingin menginap, Osuka Beach Homestay menawarkan pelbagai jenis penginapan seperti bilik standard, bilik VIP, chalet dan chalet kontena.
Bilik VIP dilengkapi dua katil king dan empat katil single, penghawa dingin, bilik mandi persendirian, televisyen, peti sejuk mini, pengering rambut serta almari pakaian bagi menjamin keselesaan pengunjung.
Chalet dan chalet kontena turut dilengkapi dengan dapur ringkas, ruang tamu serta kemudahan barbeku (BBQ), sesuai untuk keluarga besar atau kumpulan yang ingin mengadakan aktiviti santai.

Selain bermalam, pengunjung juga boleh menikmati aktiviti riadah seperti bola tampar pantai, berkelah, mandi-manda di kolam renang kanak-kanak serta menyaksikan pemandangan matahari terbenam yang menakjubkan di ufuk Laut China Selatan.

Gabungan suasana alam semula jadi, kemudahan penginapan moden serta daya tarikan pantai yang tenang, Osuka Beach Lundu muncul sebagai destinasi pilihan bagi keluarga dan pencinta alam yang ingin menikmati keindahan pesisir selatan Sarawak.
Oleh Norman B