BANTING (LINGGA): Kewujudan Taman Negara Gunung Lesung mampu menjana pendapatan tambahan untuk penduduk di kawasan Lingga dan Pantu kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang.
Ini kerana Taman Negara Gunung Lesung yang memiliki keluasan 595 hektar itu telah menjadi tumpuan ramai penggemar sukan lasak dan pelancong asing termasuk tempatan semenjak ia mula dibuka pada tahun 2013 lepas.
“Walaupun menjadi taman negara terkecil dalam negeri ini, Taman Negara Gunung Lesung mampu memberi peluang kepada penduduk di Lingga dan Pantu untuk membuka beberapa jenis perniagaan kepada pelancong dan penggemar sukan lasak di situ.
“Antara jenis perniagaan yang boleh diceburi oleh penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan adalah perkhidmatan pemandu pelancong, rumah inap desa, kedai makan dan penjualan kraftangan,” kata beliau.
Mong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Randau Jawatankuasa Pembangunan ‘Gunung Lesong Community Based Eco Tourism’ atau GLCBET Bersama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di Dewan Engkeranji di sini pada Khamis lepas.
Beliau pada majlis berkenaan juga mengajak penduduk di situ untuk mempelbagai produk sampingan masing-masing bagi menghadapi kehadiran lebih ramai pelancong asing pada masa akan datang.
“Selain mempunyai keunikan sejarah dan daya tarikan tersendiri, Taman Negara Gunung Lesung juga telah menjadi habitat bagi hidupan liar yang endemik di Kepulauan Borneo seperti orang utan dan langur merah.
“Saya yakin faktor tersebut akan menarik kedatangan lebih ramai pelancong asing dan tempatan jika taman ini dipromosi ke tahap lebih tinggi kelak dengan penduduk di sini diseru agar lebih bersedia bagi menghadapi perkara itu mulai sekarang,” kara Mong.
Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Pengarah SFC, Dr Victor Luna Amin, Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman, Ir Christopher George, Jurutera Bahagian Sri Aman, para Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum di sini.
Oleh Valentine Ngumbang