
SIMUNJAN: Keanggunan dan pesona Suziana Sampang, 31, dari Simunjan berjaya menarik perhatian juri, sekali gus melayakkannya dinobatkan sebagai Ratu Pesta Simunjan 2025 yang berlangsung di Pentas Rakyat, Padang Sentral Simunjan, semalam.
Bertemakan songket kebaya, Suziana memukau para juri dan hadirin dengan keanggunan tradisional yang dipadankan dengan sentuhan moden, membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, piala, mahkota, bunga dan selempang.
Penonton turut terpukau dengan cara beliau menguasai pentas, memperagakan langkah penuh keyakinan sambil menonjolkan keindahan busana songket kebaya yang disarung.
Naib johan dimenangi oleh Yuen Kavin Yong, 28, dari Kuching yang menerima RM1,000 beserta piala, mahkota, bunga dan selempang.
Tempat ketiga pula milik Intan Syafiqah Yunus, 19, dari Simunjan yang turut merangkul kategori Peragaan Terbaik, membawa pulang RM800 dan RM100, piala serta selempang.
Tempat keempat disandang oleh Joy Angela yang menerima RM400 beserta piala manakala tempat kelima diraih oleh Vviennie Racella yang membawa pulang RM200 dan piala.
Kategori Songket Terbaik pula menjadi milik Bervenna Elly Jeffery dari Simunjan, yang memukau dengan songket kebaya yang disulam cantik sekali gus membawa pulang RM100 beserta piala.
Seramai 17 finalis dari Simunjan, Kuching, Sri Aman, Serian, Padawan, Samarahan dan Gedong menyertai pertandingan yang mengetengahkan unsur tradisional songket kebaya dengan sentuhan moden, mencerminkan kreativiti dan kebudayaan setempat.
Pertandingan anjuran Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawka (PBB) Cawangan Simunjan ini turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee yang menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris bersama isteri Napsiah Abang Kaderi dan Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad.
-UKAS