
SEBUYAU: Projek Jambatan Batang Lupar 1 kini mencapai kemajuan 87 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2026, kata Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Pemantauan rapi perlu dilakukan bagi memastikan pembinaan projek berjalan mengikut jadual, mematuhi piawaian keselamatan dan mengekalkan kualiti kerja.
“Setiap pelaburan kerajaan mesti diterjemahkan dalam bentuk manfaat kepada rakyat. Itu yang paling penting,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan kerja ke tapak Projek Jambatan Batang Lupar 1 (Pakej D2B) serta jajaran Jalan Utama Kedua (Second Trunk Road) di Sebuyau, Bahagian Samarahan hari ini.


Projek bernilai tinggi itu dilaksanakan oleh Perbena Emas Sdn. Bhd dan menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan Sarawak memperkukuh jaringan jalan raya di kawasan luar bandar serta pesisir.
Setelah siap dibina, jambatan tersebut dijangka memainkan peranan penting dalam mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap perkhidmatan feri serta memperkukuh pembangunan sosioekonomi kawasan setempat, terutamanya dalam sektor pertanian, perumahan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Oleh Amanda L & Adele Rissa