Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak disaran perkukuh kajian hubungan perdagangan awal Santubong-Terengganu-China
  • SEMASA

Sarawak disaran perkukuh kajian hubungan perdagangan awal Santubong-Terengganu-China

Utusan Sarawak 5 days ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke Boulder Trails selepas merasmikan Santubong Archaeological Park dan Wallace Centre di Santubong, Kuching hari ini. Foto UKAS

SANTUBONG: Jabatan Muzium Sarawak disarankan menjalankan kajian lanjut bagi memperkukuh teori sejarah berhubung kewujudan hubungan perdagangan awal antara Santubong, Terengganu dan China.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penyelidikan itu penting untuk menambah kefahaman terhadap sejarah hubungan ekonomi dan budaya Sarawak dengan dunia luar, sekali gus memperkukuh bukti sedia ada berdasarkan penemuan arkeologi di Santubong.

Menurut beliau, penemuan artifak seramik di kawasan berkenaan dipercayai menunjukkan kegiatan perdagangan antara tiga wilayah tersebut telah berlaku lebih awal daripada era Kesultanan Melaka.

“Lebih kurang 16 atau 17 tahun dahulu, saya ada bersama seorang pemimpin kita yang sangat fasih mengenai sejarah negeri China dan menjalankan kajian tentang hubungan antara Terengganu dengan Santubong.

“Terengganu pula mempunyai hubungan perdagangan dengan China. Sebab itu diceritakan bahawa perhubungan kita dengan China lebih awal daripada Melaka dan sebelum Laksamana Cheng Ho datang.

“Ia adalah berdasarkan peta termasuk Batu Bersurat Terengganu dan artifak seramik yang membuktikan wujud perdagangan antara China, Terengganu dan Sarawak,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Santubong Archaeological Park dan Wallace Centre, hari ini.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakamkan gambar kenangan bersama tetamu kehormat lain pada Santubong Archaeological Park dan Wallace Centre di Santubong, Kuching hari ini. Foto UKAS

Beliau menjelaskan, teori berkenaan turut disokong oleh penemuan Batu Bersurat Terengganu serta peta lama yang menunjukkan laluan perdagangan dari China ke rantau Nusantara melalui perairan Sarawak.

Katanya, Jabatan Muzium Sarawak wajar memperkukuh penyelidikan sedia ada melalui kajian saintifik yang lebih mendalam bagi mengesahkan teori tersebut.

Premier Sarawak turut berkongsi kisah menarik mengenai asal-usul nama Santubong yang dikatakan mempunyai kaitan dengan bahasa Cina dan bermaksud keamanan.

Menurutnya lagi, penemuan arkeologi di Santubong seperti tapak peleburan besi serta kegiatan perlombongan antimoni, bauksit dan emas di kawasan Siniawan hingga ke Bau turut menunjukkan bahawa Sarawak sudah memiliki sistem ekonomi dan perdagangan yang sudah ke hadapan pada zaman dahulu.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa semangat perdagangan dan pembangunan ekonomi yang wujud sejak zaman dahulu terus menjadi asas kepada kemajuan Sarawak hari ini.

Beliau berkata, usaha kajian dan pembangunan tapak arkeologi juga penting untuk menarik pelancong berkualiti, khususnya mereka yang berminat terhadap sejarah dan penyelidikan.

-UKAS

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: SBC kukuhkan usaha inovasi produk berasaskan biodiversiti Sarawak
Next: 23 rakyat Malaysia ditahan Israel dibawa ke Istanbul hari ini – PM Anwar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.