
KUCHING: Acara beregu boling bagi Temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) XXII 2025 terus menampilkan aksi bertenaga dan prestasi mantap para atlet apabila saingan memasuki hari kedua di Megalanes E-Mart Batu Kawa, hari ini.
Bagi kategori lelaki, gandingan Wilayah Persekutuan, Syabil Azam Syamsul dan Chua Hock Seng muncul juara selepas menampilkan persembahan cemerlang untuk membawa pulang pingat emas.
Tempat kedua milik pasangan Selangor, Noor Aizad Noor Azmi dan Ahmad Zainurin Ahmad Jallani yang meraih pingat perak, manakala gangsa turut disumbang Wilayah Persekutuan melalui pasangan Mohamad Haziq Danish Rozainy dan Liew Boon Ann.
Bagi kategori wanita, pasangan Sabah, Masruni Juri Azhar dan Irene L. Gubud mengungguli persaingan dengan kutipan mata tertinggi sekali gus merangkul pingat emas. Pasangan Sarawak, Sia Chew Ing dan Nurlyanna Arnezza Suzalee pula meraih perak, manakala gangsa menjadi milik gandingan Wilayah Persekutuan, Nursyafiqah Ibrahim dan Liew Boon Har.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMN), Semawi Mohamad yang menyempurnakan penyampaian pingat kepada para pemenang serta menyampaikan penghargaan atas komitmen dan disiplin tinggi semua peserta sepanjang kejohanan berlangsung.