Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Eksklusif: JBPM Zon Sibu galak penduduk daftar sebagai Rakan Pili Bomba
  • Tengah
  • WILAYAH

Eksklusif: JBPM Zon Sibu galak penduduk daftar sebagai Rakan Pili Bomba

Utusan Sarawak 3 days ago
KETUA JBPM ZON SIBU… Andy Alie.

SIBU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggalakkan penduduk untuk mendaftar sebagai Rakan Pili Bomba bagi memastikan aset keselamatan itu sentiasa terpelihara, sekali gus menjamin keberkesanan operasi ketika menghadapi situasi kecemasan.

Ketua JBPM Zon Sibu, Andy Alie berkata, pendaftaran boleh dilakukan di balai bomba berhampiran dengan mengisi borang permohonan yang disediakan.

“Setiap pendaftaran akan dihantar ke Ibu Pejabat sebelum sijil penyertaan diserahkan kepada penduduk terlibat.

“Peranan Rakan Pili Bomba adalah menjaga serta memelihara pili bomba di kawasan masing-masing agar terhindar daripada kecurian dan kerosakan.

“Usaha ini secara tidak langsung membantu pihak bomba memastikan pili berfungsi dengan baik apabila diperlukan,” katanya kepada Utusan Sarawak.

Beliau memberitahu, pihaknya sedang merancang untuk mencetuskan inisiatif lebih menarik termasuk menganjurkan pertandingan Rakan Pili Bomba di Sibu bagi menggalakkan penduduk memelihara aset tersebut dengan lebih serius.

“Dalam pertandingan itu, pili bomba yang dijaga paling cantik dan baik akan dinilai, sekali gus memberi motivasi kepada penduduk untuk terus memastikan pili bomba sentiasa dalam keadaan tip-top,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Komuniti Lanang, Sibu, Daniel Ing berkata, PBS Komuniti Lanang yang dianggotai seramai 18 ahli terus memperkukuh peranan mereka dalam meningkatkan kesedaran kebakaran serta membantu masyarakat setempat, khususnya di kawasan Lanang.

PENGERUSI PBS KOMUNITI LANANG…Daniel Ing.

“Selain mengadakan latihan berkala, kami turut memberi tumpuan kepada aspek pencegahan kebakaran. Antara usaha yang dijalankan termasuklah pemeriksaan dan penyelenggaraan pili bomba di kawasan kediaman serta komuniti,” katanya sambil memberitahu PBS Komuniti Lanang ditubuhkan pada November 2023.

Menurutnya, PBS Komuniti Lanang juga membantu pihak berkuasa dengan mengecat semula pili bomba bagi memudahkan pengecaman, selain memastikan aliran air berfungsi dengan baik.

“Jika pili berwarna kuning, ia menunjukkan berada di kawasan persendirian. Sekiranya di luar kawasan, kami akan bantu cat semula menjadi merah selepas memastikan airnya berfungsi. Usaha ini penting supaya tindakan kecemasan dapat diambil segera jika berlaku kebakaran,” jelasnya.

Selain itu, PBS Komuniti Lanang turut aktif menjalankan program kesedaran kebakaran melalui lawatan ke sekolah dan rumah panjang bagi memberi pendedahan kepada masyarakat.

“Tujuan utama kami adalah menolong dan menyokong pasukan bomba dalam memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terjamin,” katanya. 

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jien Ek telah memperuntukkan sebanyak RM300,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) N.51 Bukit Assek bagi kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf pili bomba di kawasan tersebut dalam tempoh dua tahun.

Menurutnya, daripada jumlah itu, RM200,000 diperuntukan pada 2023 dan RM100,000 lagi pada 2024 bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan pili bomba di kawasan terbabit.

Katanya, projek itu dilaksanakan oleh Sarawak Water Sdn Bhd (wilayah tengah) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sibu.

TURUN PADANG….Chieng memeriksa pili bomba yang baru dipasang di Jalan Tong Sang.

“Bagi fasa pertama yang telah siap, sebanyak 28 unit pili bomba melibatkan dengan kos kira-kira RM31,350.

“Daripada jumlah itu, 16 unit pili bomba lama diganti, dua injap suis 100 mm dipasang, tujuh unit pili bomba yang hilang atau dicuri digantikan, manakala dua unit baharu dipasang,” katanya.

Beliau memberitahu, untuk fasa kedua kerja-kerja dinaik taraf mengikut enam zon yang dikenal pasti oleh JBPM Sibu, meliputi kawasan sekolah, jalan utama, pusat bandar dan kawasan pembangunan baharu. 

“Zon A (SMK Methodist) 13 unit dibaik pulih, tiga daripadanya telah siap, Zon B (Jalan Tong Hua, Jalan Hua Kiew, Jalan Tong Sang) 22 unit dinaik taraf dan lima unit baharu dipasang dan Zon C: 13 unit dinaik taraf dan lima unit baharu dipasang. 

“Bagi Zon D: 10 unit dinaik taraf, Zon E (pusat bandar) 13 unit dibaik pulih atau dinaik taraf manakala Zon F (Bukit Penyau-kawasan pembangunan baharu) masih dalam perancangan.

JOM SERTAI RAKAN PILI BOMBA…. Chieng merakam kenangan bersama PBS Komuniti Lanang. Turut kelihatan ialah Andy (empat kiri), Daniel (empat kanan).

“Secara keseluruhan, sebanyak 71 unit akan dinaik taraf atau dibaik pulih, manakala 10 unit baharu akan dipasang,” jelasnya.

Chieng berkata, meskipun penyelenggaraan pili bomba adalah bidang kuasa Persekutuan, langkah tersebut tetap penting kerana kawasan itu masih mempunyai banyak rumah kayu lama yang berisiko tinggi terbakar terutama pada musim kemarau.

“Masalah yang dikenal pasti termasuk pili bomba tenggelam, paip bocor, komponen dicuri, malah ada yang hilang sepenuhnya. Sebab itu pemeriksaan, penggantian dan pemasangan baharu sangat penting untuk keselamatan penduduk,” ujarnya.

Beliau turut menggalakkan komuniti setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendaftar sebagai ‘Rakan Pili Bomba’ bersama JBPM Sibu.

“Jika ada pili bomba di hadapan rumah, kilang atau premis, mereka boleh mendaftar untuk menjaganya. Sekiranya berlaku kerosakan, laporan segera boleh dibuat kepada JBPM Sibu untuk tindakan segera,” kata beliau.

Tambahnya, kerjasama komuniti amat penting kerana ketersediaan dan fungsi pili bomba adalah keperluan asas bagi keselamatan masyarakat di Bukit Assek.

Oleh Akun Giman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: JPJ Sibu anjur Taklimat Patuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987
Next: Warisan budaya dan perpaduan terserlah dalam Perayaan Kuih Bulan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.