
SARATOK: Polis berjaya menahan seorang kakitangan syarikat di Kabong semalam selepas disyaki menyeleweng wang syarikat berjumlah lebih RM5,600 serta tidak memulangkan puluhan item serahan pelanggan.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Maggie berkata, tangkapan tersebut dibuat selepas pihak pengurusan cawangan Sarikei membuat laporan berhubung kegagalan suspek memasukkan wang kutipan sebanyak RM5,613.87 ke dalam akaun syarikat.
Menurut beliau, selain wang berkenaan, sebanyak 69 item serahan pelanggan turut tidak dipulangkan oleh suspek sekali gus menimbulkan kerugian kepada pihak syarikat dan pelanggan yang terlibat.
Hasil siasatan awal mendapati suspek, seorang lelaki berusia 36 tahun dan beralamat di Kabong, telah mengaku menyeleweng wang syarikat tersebut untuk kegunaan peribadi.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah oleh pekerja yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun serta sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.
Mathew menegaskan pihak polis memandang serius kes seumpama ini kerana ia melibatkan amanah serta integriti pekerja dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.
Beliau turut menasihatkan masyarakat serta kakitangan syarikat perkhidmatan agar sentiasa memelihara kejujuran dalam menjalankan tugas kerana sebarang bentuk penyelewengan akan diambil tindakan tegas mengikut undang-undang.
Oleh Adi Safarman