
LIVERPOOL: Penjaga gol utama Liverpool, Alisson Becker, disahkan tidak akan beraksi sehingga selepas rehat antarabangsa bulan ini, sekali gus memberi tamparan hebat buat pengendali Arne Slot yang sedang berusaha menghentikan kemerosotan pasukannya
The Reds sebelum ini tewas dua kali berturut-turut, 2-1 kepada Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan 1-0 di tangan Galatasaray dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah selepas memulakan musim dengan tujuh kemenangan berturut-turut
Alisson, 33, digantikan oleh Giorgi Mamardashvili pada minit ke-56 perlawanan di Istanbul selepas cedera di bahagian hamstring. Slot mengesahkan bintang Brazil itu tidak akan diturunkan menentang Chelsea di Stamford Bridge hujung minggu ini.
“Alisson tidak tersenarai dalam skuad esok dan dia juga tidak akan ke Brazil bersama pasukan kebangsaan. Saya rasa sukar dia sempat kembali pada aksi pertama selepas rehat antarabangsa, tapi kita akan lihat perkembangannya,” kata Slot.
Pengendali dari Belanda itu menyatakan keyakinan penuh terhadap Mamardashvili, yang dijangka membuat penampilan sulung Liga Perdana menentang Chelsea pada Sabtu ini.
Liverpool masih mendahului liga dengan kelebihan dua mata, namun Slot mengakui prestasi pasukannya belum meyakinkan walaupun mereka melakukan rombakan besar bernilai hampir 450 juta pound (RM2.7 bilion) pada musim panas lalu.
“Kami tidak menjaringkan gol daripada gerakan terbuka sekerap musim lalu dan inilah yang kami sedang usahakan,” katanya sambil menegaskan benteng pertahanan juga banyak melakukan kesilapan
Bek tengah Perancis, Ibrahima Konate, turut menjadi perhatian selepas beberapa persembahan hambar musim ini.
Sementara itu, penyerang Hugo Ekitike yang dikeluarkan akibat kecederaan ketika menentang Galatasaray akan dinilai selepas sesi latihan terakhir sebelum pertemuan dengan Chelsea, yang kini menghuni tangga kelapan liga. – AFP