
VIENTIANE (Laos): Biro cuaca Laos mengeluarkan amaran hujan lebat di seluruh negara ketika ribut tropika Matmo semakin menghampiri negara.
Biro itu menggesa orang ramai berwaspada dan bersiap siaga menghadapi risiko banjir serta tanah runtuh, lapor Xinhua.
Ribut bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan 20 kilometer sejam dan dijangka merentasi Filipina sebelum membadai Laos.
Jabatan Meteorologi dan Hidrologi hari ini meramalkan ribut petir, angin kencang dan hujan lebat di beberapa bahagian negara itu dari 3 hingga 7 Oktober ini.
Pihak berkuasa menggesa semua komuniti dan pihak berkuasa tempatan agar sentiasa berwaspada serta mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan hujan lebat berpanjangan berisiko mencetuskan tanah runtuh, banjir kilat dan banjir di kawasan tertentu.
Beberapa wilayah di Laos kini mengalami banjir akibat hujan berterusan.
-Bernama