395 kenderaan diperiksa, 78 saman dikeluarkan dalam Ops JPJ di Sibu

Facebook
WhatsApp
MENGUKUR KETELUSAN CAHAYA….Nor Azlan menyaksikan anggota penguatkuasa mengukur peratusan ketelusan cahaya cermin menggunakan peralatan khas pada cermin sebuah kenderaan yang diperiksa dalam Ops Pengarah JPJ Sarawak Bil.14 Tahun 2025 di Sibu, petang semalam.

SIBU: Sebanyak 395 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa manakala 78 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Bil.14/2025 yang dijalankan di Jalan Deshon, petang semalam.

Operasi berkenaan membabitkan lebih 30 anggota daripada JPJ Cawangan Sibu dan Stesen Penguat Kuasa (SP) Stapang.

Menurut JPJ Sarawak, kesalahan paling banyak dikesan adalah tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Dalam kenyataan menerusi media sosial rasmi, JPJ Sarawak menegaskan bahawa memiliki lesen memandu sah adalah satu tanggungjawab penting yang wajib dipatuhi oleh semua pemandu dan penunggang kenderaan.

“Orang ramai diingatkan untuk tidak memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen sah demi keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” menurut kenyataan itu.

Operasi tersebut turut disertai oleh Timbalan Pengarah JPJ Sarawak, Nor Azlan Ibrahim, Timbalan Ketua Cawangan JPJ Sibu, Mohd Ariffin Zaini serta Ketua SP Stapang, Langie Nyareng.

Oleh Akun Giman