
MIRI: Polis menahan 10 lelaki tempatan selepas mereka disahkan positif dadah jenis methamphetamine dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan By Pass, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, serbuan sekitar 12.15 tengah malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri yang diketuai Inspektor Stiffan Lawler Ateng.
“Seramai 14 lelaki dan lima wanita diperiksa dalam operasi itu, sebelum kesemua mereka dibawa ke pejabat BSJN IPD Miri untuk menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil ujian mendapati 10 lelaki tempatan positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesemua suspek kini ditahan di Lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Mohd Farhan menasihatkan orang ramai, khususnya golongan remaja, agar menjauhi penyalahgunaan dadah yang disifatkan sebagai musuh utama negara.
“Dadah bukan sahaja merosakkan masa depan, malah boleh membunuh,” tegasnya.
Oleh Liong Chai Ling