
LIMBANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Limbang berjaya merampas sejumlah dadah dengan tertangkapnya dua lelaki tempatan dalam Operasi (Ops) Tapis yang dijalankan di dua lokasi berasingan di bandar ini semalam.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superitenden Parum Niot berkata kedua-dua suspek berusia 23 dan 26 tahun dalam dua serbuan berasingan dalam operasi bermula 4.00 petang.
Beliau berkata salah seorang suspek bekerja sebagai buruh kasar manakala seorang lagi adalah penganggur.
“Serbuan pertama yang dijalankan 4.00 petang di kawasan perumahan Taman Desa Pebahanan, kita menahan seorang lelaki bersama satu keratan tiub straw berisi dadah disyaki jenis syabu beranggaran berat 0.5 gram.
“Bagi serbuan kedua yang dijalankan kawasan hadapan kedai runcit Jalan Mendamit pada 4.30 petang, seorang lelaki ditahan bersama satu paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki jenis syabu beranggaran berat 0.5 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Parum berkata hasil semakan mendapati kedua-dua suspek yang ditahan tiada mempunyai rekod lampau dan kedua-dua saspek dipercayai mula terlibat dalam aktiviti penagihan dadah sejak awal 2025.
Katanya lagi, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati positif Amphetamine dan Methamphetamine.
Kedua-dua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Katanya, orang ramai dinasihati tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pengedaran atau penagihan dadah dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah serta jenayah kepada pihak polis.
Oleh Adeng Edrus