BINTANGOR: Walaupun tinggal di rumah panjang, namun semangat menyambut Hari Malaysia tidak pernah luntur di jiwa semua penduduk Rumah Giman Jabu dan ahli-ahli Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Zon 1 Skim B Meradong.
Tuai Rumah, Giman Jabu berkata, mereka bersama ahli KRT Zon 1 Skim B Meradong mendirikan pintu gerbang yang dihiasi dengan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak secara gotong-royong sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.
Menurutnya, mereka menggunakan wang peruntukan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Giman dan KRT Zon 1 Skim B Meradong untuk membeli Jalur Gemilang dan bendera Sarawak.
“Pada mesyuarat baru-baru ini, kami ada cadangkan supaya dibina pintu gerbang dengan dihiasi Jalur Gemilang dan bendera Sarawak, selain turut dipasang di rumah panjang bagi memupuk semangat cintakan negara dan negeri Sarawak.
“Puji Tuhan, cadangan ini disambut baik oleh semua penduduk di sini dan ahli KRT Zon 1 Skim B Meradong dengan ratusan bendera pelbagai saiz digantung dan dihias di pintu gerbang dan perkarangan rumah panjang,” jelasnya ketika dihubungi oleh pemberita hari ini.
Sementara itu, Pengerusi KRT Zon 1 Skim B Meradong, Anthony Buli Indau berkata, tujuan utama menghias kawasan rumah panjang dengan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak untuk memupuk semangat toleransi, kerjasama dan patriotik dalam kalangan penduduk.
“Pembinaan pintu gerbang dan pemasangan bendera hanya simbolik, yang penting apabila kita anjurkan program seumpama ini, semua penduduk rumah panjang dan ahli KRT membantu memeriahkan suasana, memasang bendera dan bergotong-royong.
“Program seumpama ini sekaligus memupuk semangat untuk lebih cintakan negara Malaysia dan negeri Sarawak,” ujarnya.
Oleh Akun Giman