Sterilizer rosak sebulan, JAKKSA tampil bantu Wad Pediatrik Hospital Sri Aman

Facebook
WhatsApp
GERALD Empaling (empat kiri) semasa menyampaikan sumbangan sebuah alat pensteril dan pengering (sterilizer & dryer) premium kepada Wad Pediatrik Hospital Sri Aman, semalam. Foto JAKKSA

SIMANGGANG: Keprihatinan terhadap keperluan pesakit dan petugas kesihatan terus menjadi keutamaan apabila Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman (JAKKSA) menyumbangkan sebuah alat pensteril dan pengering (sterilizer & dryer) premium kepada Wad Pediatrik Hospital Sri Aman.

Menurut Pengerusi JAKKSA, Gerald Empaling, sumbangan tersebut diserahkan selepas pihak jawatankuasa dimaklumkan bahawa mesin sterilizer sedia ada di wad berkenaan mengalami kerosakan sejak kira-kira sebulan lalu.

Keadaan itu menyebabkan petugas hospital terpaksa menggunakan kaedah tradisional dengan merebus peralatan menggunakan periuk bagi memastikan tahap kebersihan dan sterilisasi peralatan bayi sentiasa terjamin.

“Bagi sesetengah pihak, ia mungkin hanya sebuah mesin. Namun bagi petugas wad bersalin, khususnya dalam penjagaan bayi baru lahir dan bayi pramatang yang mempunyai daya tahan badan yang sangat lemah, aspek kebersihan dan sterilisasi adalah amat penting,” katanya.

Beliau berkata, apabila perkara tersebut sampai ke pengetahuan JAKKSA, jawatankuasa merasakan sudah tiba masanya untuk tampil membantu memenuhi keperluan yang memberi impak secara langsung kepada kesihatan dan keselamatan bayi.

Walaupun sumbangan itu dianggap sederhana, Gerald percaya manfaatnya amat besar kerana ia dapat membantu petugas kesihatan menjalankan tugas dengan lebih efisien serta memastikan peralatan penyusuan dan penjagaan bayi dapat disterilkan dengan sempurna.

“Jika sebuah mesin ini mampu memberikan perlindungan tambahan kepada bayi-bayi yang sedang berjuang untuk membesar dengan sihat, maka sumbangan ini mempunyai nilai yang cukup bermakna,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada doktor, jururawat dan seluruh warga Hospital Sri Aman yang terus bertugas dengan penuh dedikasi walaupun berdepan pelbagai kekangan.

Katanya, banyak pengorbanan petugas kesihatan yang tidak diketahui masyarakat, namun mereka tetap melaksanakan amanah bagi memastikan kesejahteraan pesakit sentiasa terpelihara.

JAKKSA menegaskan bahawa usaha kebajikan bukan sekadar memberi bantuan, sebaliknya melibatkan kesediaan mendengar keperluan masyarakat, hadir ketika diperlukan dan melakukan apa yang termampu demi kesejahteraan komuniti.

Jawatankuasa itu turut berikrar untuk meneruskan usaha mendekati masyarakat, mengenal pasti keperluan komuniti serta melaksanakan pelbagai program kebajikan dan kesihatan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Kecil sumbangannya, besar manfaatnya. Bersama kita membina komuniti Sri Aman yang lebih prihatin, sihat dan sejahtera,” kata Gerald.

Oleh Adi Safarman