
KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih perseorangan negara, Wong Tat Meng menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihannya selepas terlibat dalam kemalangan motosikal di Sydney, Australia, bulan lepas.
Berdasarkan kemas kini rasmi kelab badminton Roketto yang berpangkalan di Sydney hari ini, Tat Meng yang berkhidmat selaku pengarah program dan kejurulatihan mereka telah menunjukkan perkembangan lebih baik daripada jangkaan, termasuk mampu berbual dengan jelas bersama pelawat serta pasukan perubatan selain mula makan makanan dikisar.
“Semalam, buat kali pertama beliau diletakkan di atas kerusi roda yang membolehkan beliau menjalani senaman pemulihan dan menikmati udara segar di luar.
“Walaupun masih memerlukan beberapa minggu lagi untuk pemulihan, tahap kesihatan beliau sangat positif dan pemulihannya terus memberikan inspirasi kepada orang sekeliling,” menurut kelab berkenaan menerusi hantaran Facebook.
Pada 7 September lepas, jurulatih berusia 58 tahun itu dilaporkan terlibat dalam nahas selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah motosikal di Putty Road, Garland Valley.
Selain pasukan kebangsaan, Tat Meng juga pernah membimbing pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia, sehingga berjaya meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum berpisah pada Disember lepas.- Bernama