
JULAU: Seramai 112 murid, 18 guru, dan 10 ibu bapa Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Entaih telah menyertai ceramah dan demonstrasi keselamatan kebakaran yang dikendalikan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, semalam.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program yang berlangsung bermula 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari itu bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kesedaran mengenai langkah pencegahan dan tindakan awal semasa menghadapi kebakaran.

“Ia secara tidak langsung memberi keyakinan kepada murid dan komuniti sekolah untuk bertindak sewajarnya sekiranya berlaku kecemasan,” katanya ketika dihubungi.
Antara pengisian program termasuk ceramah keselamatan kebakaran yang menekankan aspek pencegahan, pengenalan dan penggunaan alat pemadam api, serta demonstrasi memadam kebakaran dapur memasak yang dikendalikan secara praktikal bersama peserta.

Mahmudin menjelaskan bahawa pendedahan awal seperti ini amat penting bagi memastikan murid dan warga sekolah dapat bertindak pantas dan selamat sekiranya berlaku kebakaran.
“Pendidikan keselamatan kebakaran harus bermula sejak di bangku sekolah agar mereka memahami risiko dan tahu cara menyelamatkan diri serta membantu mencegah kebakaran daripada merebak,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa aktiviti praktikal seperti pengendalian alat pemadam api dan pemadaman kebakaran dapur dapat meningkatkan keyakinan peserta untuk bertindak dalam situasi sebenar.
“Program ini juga mendidik warga sekolah mengenal pasti bahaya kebakaran di rumah atau bangunan serta mengambil langkah pencegahan awal,” tambahnya.
Selain itu, pasukan BBP Bintangor turut menjalankan pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) di kawasan sekolah bagi memastikan keselamatan bangunan dan mengenal pasti potensi risiko kebakaran.
“Saya berharap pendedahan ini dapat meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan komuniti luar bandar khususnya, agar tidak memandang ringan aspek keselamatan kebakaran.
“Kerjasama sekolah, ibu bapa dan masyarakat amat penting kerana pencegahan kebakaran adalah tanggungjawab bersama,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek