

PENGISIAN ANTIVITI….Antara pengisian aktiviti sepanjang program latihan kebakaran PMG Cawangan Sarikei dan pihak bomba. Foto BBP Sarikei
SARIKEI: Keselamatan di tempat kerja diperkukuh melalui latihan kebakaran yang melibatkan 110 kakitangan PMG Cawangan Sarikei dari 9.00 pagi hingga 11.00 pagi semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik, berkata program yang dijalankan di pekarangan PMG Cawangan Sarikei itu merangkumi ceramah keselamatan kebakaran dan tatacara melepaskan diri ketika terperangkap.
Selain itu, program tersebut turut meliputi cara penggunaan alat pemadam api serta demonstrasi memadam kebakaran mengikut piawaian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Latihan seumpama ini penting bagi memastikan setiap warga kerja memahami langkah keselamatan yang betul jika berlaku kebakaran.
“Program ini memberi pendedahan secara langsung tentang langkah pencegahan kebakaran, cara menyelamatkan diri dan bagaimana menggunakan peralatan keselamatan asas sebelum bantuan bomba tiba,” katanya ketika dihubungi hari ini.


PENGISIAN ANTIVITI….Antara pengisian aktiviti sepanjang program latihan kebakaran PMG Cawangan Sarikei dan pihak bomba. Foto BBP Sarikei
Katanya, pengetahuan asas mengenai penggunaan alat pemadam api dan tatacara menyelamat diri boleh menjadi faktor penentu keselamatan nyawa serta mengurangkan kerugian harta benda.
“Kita mahu setiap kakitangan memahami peranan mereka dalam memastikan keselamatan diri, rakan sekerja dan persekitaran.
“Pengetahuan ini boleh menyelamatkan nyawa serta mengurangkan risiko kemalangan,” tambahnya.
Arrahman turut memuji komitmen warga kerja PMG yang memberi kerjasama baik sepanjang program dan menunjukkan kesungguhan mempelajari prosedur keselamatan kebakaran.
Latihan tersebut juga membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan organisasi menghadapi situasi kecemasan, sekali gus menyokong usaha JBPM dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan pencegahan awal.
Oleh Earl Anek