
KUCHING: Festival KATSN Artist 2025 yang berlangsung di Plaza Merdeka hari ini menyerlahkan kreativiti serta potensi komuniti istimewa melalui pelbagai pameran dan persembahan seni.
Penasihat Persatuan Pembangunan Bakat dan Kebajikan Golongan Berkeperluan Khas Kuching (KATSN), Dato Sim Kiang Chiok berkata festival itu bukan sahaja ruang pameran, malah menjadi platform untuk memperkasa dan meningkatkan keyakinan diri individu istimewa.
“Setiap hasil karya, persembahan dan ciptaan mereka adalah bukti bahawa bakat tidak mengenal batasan.
“Festival ini mengiktiraf sumbangan mereka kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas perasmian festival.
Beliau menambah, sokongan kerajaan termasuk peruntukan khas dalam Belanjawan 2024 juga memberi semangat kepada persatuan, namun lebih banyak pusat latihan kerja dan insentif pekerjaan inklusif masih diperlukan bagi memperluas peluang komuniti ini.

Dalam pada itu, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim menegaskan bahawa pameran itu bukan sekadar ruang seni, tetapi satu manifestasi bakat, ketabahan dan kreativiti tanpa batas komuniti istimewa di Sarawak.
“Setiap karya yang dipamerkan menceritakan kisah keberanian, keunikan pandangan hidup, dan keindahan melalui mata mereka sendiri. Anak-anak istimewa ini bukan ditakrifkan oleh cabaran, tetapi oleh kemampuan dan semangat mereka. Mereka adalah permata negeri kita,” ujar beliau.

Senator Dato’ Ahmad turut menyumbangkan RM10,000 bagi menyokong usaha KATSN membantu golongan berkeperluan khas.
Acara tahunan itu menampilkan pelbagai aktiviti termasuk lukisan, jahitan, anyaman bakul, persembahan nyanyian dan tarian, bakeri serta sukan bocce.