
SIBU: Taman komuniti di Gereja Zion Methodist di sini akan dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan menarik kepada penduduk setempat.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, peruntukan tersebut membolehkan taman ini dibangunkan ke tahap lebih baik dan memberi manfaat kepada komuniti.
“Selama ini pihak gereja menggunakan dana sendiri untuk membeli dan mengurus taman ini. Kali ini, saya menyediakan peruntukan RM200,000 supaya taman ini dapat dibangunkan semula dengan lebih baik,” katanya ketika melakukan lawatan tapak bersama Majlis Perbandaran Sibu hari ini.
Antara kerja penambahbaikan termasuk pemasangan peralatan riadah dan permainan kanak-kanak yang baharu, serta meluaskan laluan joging dan berjalan kaki.

Menurut beliau, kemudahan di Taman Gereja Zion Methodist lebih luas dan berpotensi menjadi pusat riadah utama komuniti.
Usaha ini dijangka menjadikan taman tersebut lebih selesa dan inklusif, sekali gus menjadi tarikan untuk aktiviti riadah keluarga dan penduduk setempat.
Turut hadir Pengerusi Gereja, Kwang Pek Ing, Penghulu Ting Tien Huat dan Kapitan Tieng Mee Ann.
Oleh Tarani Lanting