
LAWAS: Seramai 21 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 7 Limbang berjaya menawan Gunung Murud, puncak tertinggi di Sarawak yang berketinggian 2,423 meter, dalam satu ekspedisi yang berlangsung selama tiga hari, bermula 25 hingga 27 September lalu.
Ketua Bomba Zon 7 Limbang, Ramlan Marajan berkata, ekspedisi itu merupakan sebahagian daripada program jati diri bagi memantapkan daya tahan mental dan fizikal pasukan, di samping memperkasa aspek kesiapsiagaan serta kecekapan operasi.
“Pelaksanaan program ini adalah inisiatif kita untuk meningkatkan ketahanan anggota dan pegawai serta memastikan penyampaian perkhidmatan kebombaan yang cekap, berprestasi tinggi dan bersifat holistik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, kejayaan misi ini turut dibantu oleh semangat kerja berpasukan, pendedahan kepada strategi dan kaedah penyelamatan di kawasan altitud tinggi, serta pengalaman mendaki dalam keadaan mencabar.
Selain itu, ekspedisi ini juga mengenal pasti keperluan menubuhkan Pasukan MOUNTAIN SEARCH AND RESCUE (MOSAR) khusus di kawasan Gunung Murud.
Turut serta Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang, Tawang Lingem, Ketua BBP Lawas, Clarence D. Primus Tiandun, pegawai kanan JBPM Zon 7 serta anggota BBP Limbang dan BBP Lawas.
Oleh Adeng Edrus