MIRI: Kerajaan Sarawak mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di bawah Seksyen 6 dan 18 Kanun Tanah Sarawak.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak berusaha melaksanakan pengukuran tanah melalui insiatif baharu iaitu Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Sarawak melalui dua peringkat iaitu pengukuran perimeter di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebelum pengukuran lot individu di bawah Seksyen 18 kanun sama.
Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri, katanya, adalah untuk penyukatan perimeter tanah komunal sebelum surat hak milik tanah dikeluarkan kepada individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.
“Tanah NCR adalah tanah hak dan mesti dijaga mengikut apa yang termaktub dalam undang-udang, tiada orang lain boleh mengambil tanah NCR.
“Sebab itu kita ada Seksyen 6 yang akan mempertahankan tanah NCR yang dipunyai oleh mereka yang ada hak ke atas tanah NCR tersebut.
“Tetapi ada orang jadi tukang sihir, memutar belitkan perkara kononnya di bawah kerja penyukatan perimeter tanah NCR Seksyen 6 ini, kerajaan mengambil tanah rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Pengukuran Tanah Di Bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan Sungai Ukat, Bario dengan keluasan 3,995 hektar yang melibatkan 14 kampung.
Kampung tersebut ialah Arur Dalam Kubaan, Arur Layur, Bario Asal, Pa Ramapoh A dan B, Buad Main Atas, Buad Main Baruh, Ulung Palang, Padang Pasir, Bario Baru, Pa Ukat, Pa Umor, Pa Derung, Pa Lungan dan Pa Tik Asal Kubaan.
Abang Johari berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menerajui Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM40 juta untuk melaksanakan kerja menyukat tanah NCR.
Katanya, sebelum ini kos untuk melaksanakan kerja menyukat tanah NCR ditanggung Kerajaan Persekutuan namun sejak perubahan pentadbiran berlaku tahun lalu, peruntukan tidak lagi disalurkan ke negeri ini.
“Jadi Kerajaan Sarawak di bawah GPS bagi RM40 juta untuk kerja menyukat tanah NCR kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menerajui selama 22 bulan sebelum ini tidak ada bagi peruntukan.
“Sekiranya GPS diberi kuasa lagi untuk menerajui Kerajaan Sarawak pada tahun akan datang, kita tambah lagi RM40 juta atau mungkin lebih RM40 juta mengikut kehendak rakyat.
“Saya boleh bagi jaminan kerana kita mempunyai wang hasil daripada bayaran cukai jualan produk petroleum negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari menyarankan pemilik tanah NCR supaya memajukan tanah mereka menjadi lebih bernilai ekonomi terutama dengan menggalakkan pembangunan pertanian.
“Mengenai tanah ini, tiada siapa boleh ambil daripada anda tetapi gunakanlah tanah ini dan bangunkannya di kawasan masing-masing termasuk kawasan tinggi.
“Kawasan tanah tinggi ada kebaikannya, sebab suhunya sejuk sesuai untuk penanaman sayur-sayuran dan pengeluaran lebih baik dan ini akan memantapkan ekonomi kita,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Dato Gerawat Gala, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Rosey Yunus dan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting.
Oleh Liong Chai Ling