
BINTANGOR: Program Sinergi Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Program Santunan Desa KEMAS 2025 Parlimen Sarikei perkukuh perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.
Hadir bagi merasmikan program tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Katanya, penganjuran program selama dua hari ini adalah sebagai pemangkin penting dalam memperkukuh hubungan kerajaan, agensi pelaksana dan komuniti.
“Tahniah kepada Jabatan KEMAS Sarawak, KEMAS Bahagian Sarikei, urus setia, sukarelawan serta semua pihak yang terlibat kerana menjayakan program penuh bermanfaat ini.
“Program Sinergi Santunan Desa KEMAS amat signifikan kerana ia bukan sahaja mengukuhkan kerjasama antara kerajaan dan masyarakat, malah memperlihatkan keprihatinan kita dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti luar bandar,” katanya ketika berucap di majlis tersebut, semalam.

Katanya, pelbagai pengisian seperti kempen kesihatan, aktiviti kecergasan, pertandingan masakan, pameran usahawan, ceramah motivasi dan aktiviti kebajikan memberi nilai tambah yang besar kepada masyarakat.
“Program seperti ini mampu melahirkan masyarakat yang progresif, berdaya tahan dan kreatif selain selaras dengan aspirasi pembangunan negara.
“Saya berharap agar inisiatif ini diteruskan dan diperkasakan supaya manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai penduduk, khususnya di kawasan Parlimen Sarikei,” katanya.
Tambahnya, kerajaan Sarawak sentiasa menyokong usaha yang menyentuh pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat dan pengukuhan perpaduan bagi mewujudkan komuniti yang inklusif dan sejahtera.
“Saya berharap warga Sarikei dan Bintangor akan terus berganding bahu merealisasikan hasrat pembangunan komuniti yang progresif serta bersatu padu.
“Penganjuran program ini secara konsisten mampu memperkukuh semangat kerjasama akar umbi dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peluang pembangunan yang ditawarkan kerajaan,” katanya lagi.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Meradong, Thomas Geoffrey Kendawang, dan Pegawai KEMAS Bahagian Sarikei, Wan Zairul Wan Zin yang bersama-sama menyokong penganjuran ini.
Oleh Earl Anek