
SIBU: Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan Sibu Jaya akan menganjurkan Festival Kek Bulan pada 3 Oktober ini, bertempat di Pusat Stesen Belia Sibu Jaya (Buzz Station), bermula 6.00 petang.
Pengerusi PDP Sibu merangkap pengerusi pengelola, Kaunselor Paul Teo berkata, program tersebut dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong.
Menurutnya, penganjuran festival ini bertujuan untuk mengukuhkan silaturahim dalam kalangan masyarakat majmuk serta menggalakkan perpaduan dan keharmonian kaum melalui sambutan kebudayaan yang inklusif.
“Festival ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan tradisi masyarakat Cina tetapi juga membuka ruang kepada semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama meraikannya dalam suasana muhibah,” katanya pada satu sidang media di sini, semalam.
Teo memberitahu bahawa pelbagai aktiviti menarik telah disusun bagi memeriahkan acara termasuk pertandingan teka-teki, permainan tradisional ‘Tou Hu’, pertandingan tanglung serta perarakan tanglung.
Jelasnya lagi, para pengunjung juga akan disajikan dengan hidangan ringan sepanjang program berlangsung.
Justeru, Teo turut mengajak orang ramai khususnya penduduk sekitar Sibu Jaya untuk hadir beramai-ramai dan menyokong usaha memelihara serta meraikan warisan budaya tempatan.
“Sambutan seumpama ini memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan menghargai kepelbagaian budaya yang ada di negara ini,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting