Pemain tengah Leicester, James Maddison menandatangani kontrak empat tahun baru untuk mengakhiri perbincangan dari Stadium King Power, yang diumumkan kelab Liga Perdana Inggeris itu pada Isnin lalu.
Sebelum ini, Maddison dikaitkan dengan pertukaran ke Manchester United, tetapi pemain antarabangsa England itu bersetuju untuk tinggal di Leicester setelah menerima perjanjian baru yang bernilai £100,000 per minggu (AS$130,000).
Pemain berusia 23 tahun itu, yang bergabung dengan Leicester dari Norwich pada 2018, kini berada di bawah kontrak sehingga 2024.
“Saya sangat gembira menandatangani kontrak baharu untuk kelab bola sepak ini (Leicester City.) “Ini adalah masa yang sangat menggembirakan untuk menjadi pemain Leicester City dengan begitu banyak perkara positif berlaku di dalam dan di luar padang.
“Saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada itu,” kata Maddison kepada laman web Foxes.
Dengan Maddison direhatkan selepas pembedahan pinggul untuk beberapa minggu terakhir musim ini, Leicester mensia-siakan peluang untuk lolos ke Liga Juara-Juara melalui kedudukan empat teratas.
Leicester akhirnya menduduki tempat kelima untuk merebut tempat di Liga Europa 2020/21.
Pada masa sama, pertahanan kiri England mereka, Ben Chilwell dilaporkan akan bergabung dengan Chelsea.
Tetapi Maddison, yang menjaringkan sembilan gol dalam semua pertandingan musim lalu, yakin Leicester masih bersedia untuk masa depan yang cerah di bawah kendalian Brendan Rodgers.
“Apa yang kami capai sebagai kelab musim ini adalah kemajuan besar bagi kami dan saya tahu ada banyak lagi yang akan datang dari pasukan ini.
“Saya menikmati setiap saat sejak bergabung dengan Leicester City.
“Penyokongnya sangat luar biasa bagi saya dan kami mempunyai sekumpulan pemain hebat di bilik persalinan yang bertekad untuk menunjukkan apa yang dapat kami lakukan bersama di Eropah dan juga Liga Perdana musim depan,” ujarnya.
Maddison menjaringkan 16 gol dalam 76 penampilan untuk Leicester dan membuat debutnya di England menentang Montenegro pada November lalu.
Leicester juga mengumumkan pemain tengah, Nampalys Mendy juga menandatangani kontrak pertambahan dua tahun untuk membawanya ke penghujung musim 2021/22. -AFP