
SARIKEI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Anthony telah menerima peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) daripada kerajaan Sarawak mulai 2020 hingga 2025 berjumlah RM1,220,000.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii, berkata ia adalah bagi menaik taraf kemudahan asas sekolah demi menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif dan harmoni.

“Lebih membanggakan, kerajaan Sarawak telah mengumumkan bahawa menjelang 2026, pendidikan percuma akan dinikmati oleh semua pelajar.
“Ini adalah satu langkah bersejarah yang akan membuka lebih banyak ruang kepada anak-anak kita untuk menimba ilmu tanpa dibebani kekangan kewangan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.


CENDERAMATA….Pengerusi PIBG SMK St. Anthony, Normah Edueng menyerahkan cenderamata kepada Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian dan penangguhan rasmi larian jogathon Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK St. Anthony, hari ini.
Tambahnya, jogathon bukan sahaja menjadi platform untuk mengumpul dana, tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat.
“Melalui aktiviti sebegini, para pelajar dapat menghayati bahawa kesihatan fizikal dan kecergasan adalah asas kepada kejayaan dalam pelajaran dan kehidupan.
“Saya percaya, dengan adanya sokongan padu daripada ibu bapa, guru-guru dan seluruh komuniti, SMK St. Anthony akan terus maju bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga dalam bidang kokurikulum dan sahsiah murid,” katanya.
Tiong Sii turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diatas sokongan dan dasar kepimpinan dalam memperkasa pendidikan, membangunkan prasarana serta memajukan kesejahteraan rakyat Sarawak.
“Usaha beliau menjadi pendorong kepada kita semua untuk terus bergerak maju, termasuk dalam bidang pendidikan dan pembangunan belia,” katanya.
Dalam pada itu, Tiong Sii mengumumkan sumbangan sebanyak RM30,000 untuk SMK St. Anthony menjalankan aktiviti tahunan.
Turut hadir ialah Pengerusi PIBG SMK St. Anthony, Normah Edueng dan Pengetua SMK St. Anthony, Vincent Liong Shou Chuan.
Oleh Earl Anek