
BARIO: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan penubuhan 500 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) menjelang 2030 selaras dengan Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) 2021-2030.
Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran berkata, PBS Bario menjadi antara contoh komuniti pedalaman yang aktif menyokong usaha memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
“Dengan 13 ahli, PBS Bario membuktikan bahawa masyarakat pedalaman juga mampu memainkan peranan penting sebagai rakan strategik JBPM.
“Justeru, sasaran 500 PBS ini sangat realistik dengan sokongan berterusan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sesi Libat Urus Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke Pasukan Bomba Sukarela Bario (PBS) yang diadakan di Dewan Serbaguna Bario, semalam.


Jamri berkata, JBPM menyediakan pelbagai inisiatif termasuk geran kewangan, perlindungan insurans, peralatan perlindungan diri (PPE) serta peruntukan menaik taraf balai PBS bagi memastikan pasukan ini kekal relevan dan bersedia.
Sempena majlis libat urus itu, PBS Bario turut menerima sebuah pam angkut sumbangan LTA Services Sdn Bhd. serta 12 unit alat pemadam api untuk ‘Fire Point’ di kampung sekitar, sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan komuniti.
Majlis itu turut disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen & Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.
Oleh Liong Chai Ling