
PETRA JAYA: Atlet Sarawak sekali lagi membuktikan keunggulan apabila mendominasi beberapa acara akhir olahraga pada Sukan Borneo 2025 yang berlangsung di Stadium Negeri, hari ini.
Dalam acara lompat bergalah wanita, Evelyne Tan Xie Yie menghadiahkan emas kepada Sarawak manakala rakan sepasukannya Vera Then Xin Em membawa pulang gangsa. Pingat perak dimenangi atlet Sabah, Samantha Mae Godfrey Binting.

Acara 400 meter lari berpagar lelaki pula menyaksikan sapuan bersih Sarawak apabila Muhammad Qarliff Kuyt Abdullah meraih emas, diikuti Stevensie Win Simon (perak) dan Sebastian Joe Simon (gangsa).
Kejayaan sama turut dilakar dalam kategori wanita apabila Mandy Goh Li muncul juara, diikuti Natalia Abby Uding Simon (perak) dan Maryance Mening Adrian (gangsa), kesemuanya dari Sarawak.

Bagi lompat kijang wanita, Sarawak mengekalkan penguasaan dengan Maritza Ferrer Neil Armstrong meraih emas, Joanna Sangster (perak) dan Lusia John (gangsa).

Dalam lontar peluru lelaki, Jonah Chang Rigan memastikan emas milik Sarawak, sementara Earl Isaac Mitzler Fredolin dari Sabah membawa pulang perak. Gangsa diraih atlet Sarawak, Muhammad Irsyad Irzalhazir Matali.

Sorakan gemuruh penonton bergema apabila pasukan 4×100 meter lelaki Sarawak yang dibarisi Dillon Pu Young Chu, Dylan Leo Saran Stephen, Mohamad Nur Rahman Mohamad dan Jonathan Nyepa menamatkan saingan di tempat pertama, sekali gus menambah koleksi emas kontinjen tuan rumah.
Oleh Amanda L. & Shahrul Qaizat