
PETRA JAYA: Kontinjen tuan rumah, Sarawak, unggul pada hari pertama acara memanah Sukan Borneo Kuching 2025 selepas merangkul lima pingat emas daripada enam kategori individu yang dipertandingkan di Kompleks Sukan Petra Jaya, hari ini.
Dalam acara Recurve Lelaki, Polycapp Cecilinathanaelbusu memastikan emas pertama Sarawak apabila mengumpul 637 mata, menewaskan pencabar dari Kalimantan Timur, Muhammad Rafa Abdillah (634 mata), manakala rakan sepasukannya, Yu Jie Liew, melengkapkan podium di tempat ketiga dengan 628 mata.
Kategori Recurve Wanita turut menyaksikan penguasaan penuh Sarawak apabila Sabrina Ryusin Chin muncul juara dengan 594 mata, diikuti rakan senegeri Konny Su Yee Wong (551 mata) yang menamatkan saingan di tempat ketiga.
Satu-satunya pencabar luar, Carolyn Huiyin Chye dari Sabah, berada di tempat kedua (555 mata).
Sementara itu, emas ketiga Sarawak hadir melalui Compound Lelaki apabila Jaccard Lee mendahului saingan dengan 679 mata. Rakan sepasukan, Zhorif Fahim Fadhillah, memungut perak dengan 674 mata, manakala tempat ketiga menjadi milik atlet Sabah, Yao Jet Chong (670 mata).
Bagi Barebow Lelaki, Mohd Zullhanizam Mohamad Albohan menyumbang emas keempat Sarawak selepas menewaskan wakil Sabah, Onar Muhamad (526 mata), serta Jimmy Zaini @ Chew Hasbolah dari Labuan (480 mata).
Tidak ketinggalan, kategori Barebow Wanita turut menjadi milik penuh Sarawak apabila tiga atletnya membolot semua tempat di podium.
Suryani Effendi (447 mata) membawa pulang emas, diikuti Nurul Qistina Kamaruzaman (418 mata) dengan perak dan Jailmawati Razali (389 mata) meraih gangsa.
Namun, dalam acara Compound Wanita, Sarawak terpaksa akur apabila emas menjadi milik wakil Kalimantan Timur, Rohani Sepha Ananda Hatta (690 mata).
Atlet Sarawak, Aira Nadirah Aizuddin, meraih perak dengan 676 mata, manakala gangsa juga berpihak kepada Kalimantan Timur menerusi Nola Abrillia (675 mata).
Dengan pungutan lima emas, dua perak dan dua gangsa pada hari pertama, Sarawak mengukuhkan status sebagai kuasa besar sukan memanah di pentas Borneo Games 2025.
Setakat ini, kontinjen tuan rumah berjaya meraih tujuh pingat emas, enam perak dan enam gangsa dalam keseluruhan acara yang telah dipertandingkan.
Oleh Shahrul Qaizat