

DALAM PEMBINAAN… Jambatan Gantung baharu di Long Luteng, Sungai Patah yang giat dijalankan sebagai usaha menggantikan jambatan lama yang hanyut dibawa arus deras pada 2021.
BARAM: Pembinaan Jambatan Gantung baharu di Long Luteng, Sungai Patah kini giat dijalankan sebagai usaha menggantikan jambatan lama yang hanyut dibawa arus deras pada 2021.

Menurut hantaran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau, di Facebook hari ini, projek berimpak tinggi itu telah diluluskan dan dibiayai di bawah Lembaga Kumpulan Wang Kawasan Konsesi Hutan.
“Projek ini juga mendapat sokongan penuh daripada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi dan Ahli Lembaga.
“Jambatan ini amat penting bagi komuniti setempat, khususnya pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Long Luteng dan penduduk rumah panjang berhampiran yang bergantung kepada laluan ini setiap hari.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Premier dan Ahli Lembaga kerana meluluskan permohonan kami untuk membina semula kemudahan asas ini,” katanya.
Tambahnya, projek tersebut bernilai lebih RM1 juta adalah dilaksanakan melalui proses tender terbuka bagi memastikan ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan.
“Apabila siap kelak, jambatan gantung tersebut dijangka menjadi penghubung utama yang memberi keselesaan serta keselamatan lebih baik kepada penduduk tempatan, sekali gus meningkatkan kesejahteraan masyarakat di kawasan Long Luteng,” ujarnya lagi.
Oleh Adum Liu