
KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menegaskan komitmen kerajaan negeri memperkasakan kebajikan warga emas menerusi Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) dan pembangunan infrastruktur sokongan komuniti.
Dalam ucapannya pada Sesi Libat Urus SCHB dan Perkhidmatan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) di Dewan Balai Polis Kabong malam tadi, beliau menekankan kepentingan skim ini sebagai bentuk sokongan kesihatan tanpa tunai bernilai sehingga RM500 setahun bagi setiap warga emas di Sarawak.
“SCHB adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap warga emas. Skim ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi rawatan dan pemeriksaan kesihatan, tetapi juga melegakan beban kewangan mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.
Majlis tersebut turut diserikan dengan Prapelancaran Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kabong oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam, menjadikan PAWE Kabong sebagai pusat ke-21 ditubuhkan di Sarawak.
Mengulas lanjut, Chee Kadir memaklumkan bahawa kerajaan negeri melalui Betong Division Development Agency (BDDA) telah meluluskan peruntukan RM800,000 bagi pembinaan baharu PAWE Kabong.
Pusat itu katanya dijangka menjadi wadah aktiviti sosial, rujukan dan sokongan komuniti untuk warga emas di daerah berkenaan.
Chee Kadir menambah, usaha ini selaras dengan dasar kerajaan negeri yang mahu memastikan kesejahteraan warga emas terus diberi perhatian selari dengan prinsip pembangunan inklusif.
Oleh Adi Safarman