
BETONG: Seorang warga emas dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Rumah Panjang Nelson James, Nanga Buai, Padeh, pada petang 23 September lalu.
Menurut Bilik Gerakan Mer’s Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Betong, aduan kehilangan diterima sekitar 9.42 pagi semalam menerusi panggilan daripada pihak Polis Betong.
Susulan itu, seorang pegawai bersama empat anggota APM digerakkan ke lokasi menggunakan aset logistik Nissan Navara.

Setibanya di lokasi, pasukan SAR APM Betong menerima taklimat daripada Komandan Operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Betong.
Operasi pencarian bermula 10.50 pagi dengan liputan awal sejauh dua kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK). Usaha mengesan mangsa kini diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi penyelamat serta penduduk setempat.
Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan keluarga berharap beliau dapat ditemukan dalam keadaan selamat.