Penggunaan Pembantu Pengadil Virtual (VAR) sulung di Liga Juara-Juara Asia akan bermula September depan, kata para pegawai semalam, ketika persaingan itu akan dimulakan semula selepas enam bulan ditangguhkan berikutan Covid-19.
VAR telah diperkenalkan dalam pertandingan di seluruh dunia dari Liga Perdana hingga Piala Dunia 2018, tetapi keputusannya sering menimbulkan kontroversi.
Teknologi itu akan digunakan dari peringkat suku akhir Liga Juara-Juara tahun ini, persaingan kelab Asia teratas, kata Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam satu kenyataan.
Perlawanan suku akhir untuk pasukan Zon Barat berlangsung pada 30 September depan dan untuk pasukan Zon Timur pada 25 November nanti, dengan satu perlawanan final pada 5 Disember nanti.
AFC mengatakan keputusan itu menunjukkan “komitmennya untuk memastikan pengadil Asia terus menetapkan tanda aras baru”.
VAR digunakan dalam bola sepak Asia untuk pertama kalinya di suku akhir Piala Asia 2019.
Liga Juara-Juara, yang menampilkan 32 pasukan dari Arab Saudi di barat hingga Jepun di Timur, ditangguhkan pada Mac lalu kerana sekatan perjalanan yang berkaitan dengan Covid-19 tetapi dijadualkan untuk dimulakan semula bulan depan. -AFP