WALAUPUN pelaburan Paris Saint-Germain (PSG) berjumlah 400 juta Euro (RM1.973 bilion) untuk gandingan penyerang hebat, Neymar dan Kylian Mbappe namun, ia masih ‘kurang berbisa’ untuk bergelar juara pada aksi final Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.
Bagaimanapun, pengendali PSG, Thomas Tuchel tetap mempertahankan gandingan Neymar dan Mbappe setelah tewas nipis 0-1 kepada Bayern Munich.
Terdahulu, pemilik PSG dari Qatar membelanjakan 402 juta euro (RM1.983 bilion) untuk mendapatkan kedua-duanya pada 2017 dengan misi menjuarai kejohanan itu.
Gandingan itu gagal menepati reputasi ketika berdepan gergasi Jerman yang kini mengungguli gelaran paling berprestij itu sebanyak enam kali.
Neymar, pemain termahal dunia menamatkan perlawanan dengan kad kuning dengan linangan air mata.
“Kami mahu Neymar dan Mbappe menjaringkan gol tetapi kami tidak boleh mengharapkannya sepanjang masa.
“Saya bangga kerana ‘Ney’ masih mampu mengharungi perlawanan dengan kapasiti menakjubkan, dia menunjukkan mentalitinya.
“Mbappe pula agak sukar kerana berdepan kecederaan serius dan terlepas banyak sesi latihan. Memang ajaib kerana dia dapat bersama kami pada final,” kata Tuchel.
Mbappe terlepas peluang terbaik tetapi rembatannya terus ke dakapan penjaga gol, Manuel Neuer sejurus sebelum rehat.
Pada aksi final itu, Kingsley Coman yang juga produk PSG ketika zaman kanak-kanak menjaringkan gol kemenangan Bayern pada babak kedua.
“Saya yakin jika kami (PSG) dapat gol pertama, kami mungkin boleh menang 1-0. Saya dapat rasa gol pertama itu menjadi penentu keputusan final.”
“Kami perlu memastikan kualiti ini berterusan sehingga kejayaan dicapai. Tetapi, adakah dia akan terus bersama PSG pada musim baharu tidak lama lagi?
“Saya mempunyai kontrak dan selebihnya saya tidak tahu,” ujar Tuchel.
Sementara itu, Presiden PSG, Nasser al-Khelaifi i menegaskan Liga Juara-Juara kekal matlamatnya.
“Saya sangat bangga dengan pemain.
”Kami mempunyai musim yang bagus dan kejohanan yang hebat. Tiada siapa menjangkakan kami mampu ke final.
”Kami hampir memenanginya, kami melakukan apa sahaja tapi itulah bola sepak. Kami akan bekerja keras untuk menjuarainya musim depan kerana itu matlamat kami,” ujar pemilik PSG dari Qatar itu. – AFP