
BINTULU: Bulatan Jalan Tun Ahmad Zaidi kini ditutup sementara selama dua minggu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf persimpangan termasuk pemasangan lampu isyarat.
Menurut kenyataan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), penutupan itu yang berkuat kuasa sehingga 6 Oktober penting bagi memastikan kelancaran projek infrastruktur yang dijangka meningkatkan keselamatan serta aliran trafik di kawasan berkenaan.
Sepanjang tempoh penutupan, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif yang telah ditanda serta mematuhi arahan anggota trafik bertugas.
“Pihak kami memohon maaf atas sebarang kesulitan dan menghargai kerjasama orang ramai demi kelancaran pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf ini,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi BDA di talian 086-332011.
Oleh Carolyne Utih