KUALA LUMPUR: Pelumba muda, Mohd. Akid Aziz meraih kemenangan sulung pada musim ini apabila mengungguli kelas perdana CP150 pada pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Lumba Tangkak, Johor, Ahad lalu.
Pelumba berusia 22 tahun dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor itu mempamerkan aksi cemerlang di litar basah akibat hujan melintasi garisan penamat dengan merekod 15 minit 46.337 saat.
Kali terakhir Mohd. Akid meraih kemenangan adalah pada pusingan kesembilan di Litar Jempol, Negeri Sembilan, November tahun lepas.
Pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar yang muncul terpantas pada sesi kelayakan, sekadar berpuas hati di tempat kedua dengan masa 15:46.651s, manakala tempat ketiga diraih pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, Mohd. Muzakkir Mohamed (15:50.266s).
Pelumba pasukan HI REV SCK Honda Racing, Mohd. Helmi Azman yang mengungguli pusingan pertama di Litar Sepang (Utara) bulan lepas, sekadar menduduki tempat ke-18.
Sementara itu, Mohd Akid. berkata, beliau hanya fokus untuk mengekalkan rentak tunggangan memandangkan perlumbaan agak mencabar susulan keadaan litar yang licin.
“Saya hanya fokus untuk mengekalkan rentak tunggangan dan tidak perlu terburu-buru kerana ada beberapa selekoh di litar ini sangat mencabar.
“Saya hanya perlu sesuaikan gaya tunggangan dengan keadaan litar licin bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Kemenangan tersebut menyaksikan Mohd Akid menduduki tangga kedua keseluruhan dengan 25 mata.
Manakala, Azroy Hakeem berada di tangga teratas kelas CP150 menerusi pungutan 36 mata, manakala Mohd Helmi di tempat ketiga (25 mata).
Pusingan ketiga diadakan di Litar Sepang (Selatan) dari 2 hingga 3 September depan. -Bernama