
KOTA SAMARAHAN: Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, mempengerusikan Mesyuarat Khas Projek Pembangunan Parlimen Kota Samarahan di Pejabat Residen Bahagian Samarahan pagi tadi.
Mesyuarat menumpukan kepada laporan terkini pelaksanaan projek pembangunan masjid dan surau di kawasan itu serta membincangkan isu yang timbul bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek.
Antara yang dibentangkan ialah perkembangan projek oleh agensi pelaksana seperti Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Water, Sarawak Energy Berhad dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
Isu utama yang dibangkitkan ialah gangguan bekalan air bertekanan rendah yang menjejaskan penduduk di Kampung Baru, Kampung Tanjung Parang, Kampung Sungai Mata dan beberapa kawasan lain, yang memberi kesulitan kepada komuniti setempat.
Mesyuarat menekankan keperluan tindakan susulan segera bagi memastikan kesejahteraan penduduk terjamin.


FOKUS… Agensi pelaksana termasuk JBALB, Sarawak Water, Sarawak Energy dan JAIS hadir dalam Mesyuarat Khas Projek Pembangunan Parlimen Kota Samarahan di Pejabat Residen Samarahan. – Foto Facebook Rubiah Wang
Selain itu, ia membuka ruang kerjasama lebih erat antara agensi pelaksana dan kepimpinan tempatan untuk memastikan projek pembangunan memenuhi keperluan rakyat.
Projek pembangunan masjid dan surau bukan sahaja sebagai kemudahan ibadah, malah diharapkan menjadi pusat perpaduan serta penggerak aktiviti kemasyarakatan di Kota Samarahan.
Langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan projek siap tepat pada masanya dan meningkatkan taraf hidup masyarakat di Parlimen Kota Samarahan.