
BINTANGOR: Usaha berterusan menaik taraf jalan kampung buktikan keprihatinan kerajaan terhadap penduduk luar bandar.
Ahli Parlimen Sarikei, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii, berkata keutamaan sentiasa diberikan kepada pembangunan infrastruktur asas yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
“Melalui Program Mesra Rakyat (PMR) 2025, tiga projek pembinaan dan pembaikan jalan konkrit akan dilaksana melibatkan Jalan Tie 7272 di kawasan Jalan Tung Nam Poh, Jalan Tiong Hing dan Jalan Soon Lee di Sungai Bakong.
“Apabila projek ini siap dilaksanakan, penduduk akan menikmati kemudahan jalan yang lebih rata, selesa dan selamat.
“Ia akan memudahkan pergerakan harian serta menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar, Tiong Sii diwakili oleh Wong Soon Mee dan Pegawai Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO), Nina Azirina telah mengadakan lawatan ke ketiga-tiga tapak projek pada semalam.
Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, lawatan tersebut turut menjadi ruang perbincangan bersama penduduk bagi meneliti keperluan setempat dan merangka langkah terbaik dalam meningkatkan mutu jalan kampung.
“Peruntukan yang disalurkan melalui PMR jelas membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
“Fokus kerajaan adalah untuk memberikan kesamarataan pembangunan antara bandar dan luar bandar.
“Dengan adanya jalan kampung yang baik, ia turut menyokong pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.
Oleh Earl Anek