
MIRI: Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, menggesa tindakan tegas diambil berhubung insiden buli yang dilaporkan berlaku di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian kekerasan fizikal melibatkan sekumpulan pelajar terhadap seorang pelajar lain di institusi berkenaan.
“Memandangkan kes ini melibatkan keselamatan pelajar, saya telah segera membawa perkara ini ke perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bagi mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.
Menurut Chiew, beliau menghargai respons pantas daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memaklumkan pihak IKBN Miri telah mengambil tindakan siasatan dalaman serta bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
KBS juga menegaskan bahawa tindakan disiplin tegas akan dikenakan terhadap pelaku termasuk penggantungan atau pembuangan pengajian, tertakluk kepada peraturan dan tatacara disiplin yang berkuat kuasa.
Hannah Yeoh turut memaklumkan bahawa pegawai kanan KBS akan ke Miri hari ini untuk menjalankan siasatan segera berhubung insiden berkenaan.
Chiew menegaskan, budaya buli tidak boleh dianggap sebagai gurauan atau tradisi dalam kalangan pelajar, sebaliknya perlu dibanteras sama ada di institusi pendidikan, tempat kerja mahupun dalam masyarakat.
“Saya yakin KBS akan menjalankan siasatan menyeluruh dan telus dengan kerjasama agensi lain, serta memastikan tindakan wajar diambil agar kejadian seperti ini tidak berulang,” tambahnya.
Semalam, tular sebuah video memaparkan kekasaran oleh sekumpulan pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) MIRI yang dilaporkan mengasari salah seorang pelajar.
Oleh Liong Chai Ling