

TINDAKAN PANTAS… Anggota bomba dari BBP Lutong menangkap seekor anak biawak yang ditemui dalam tandas sebuah rumah di Tudan, Miri.
MIRI: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila menemui seekor anak biawak berada di dalam tandas rumahnya di Tudan, di sini, hari ini.
Wanita berkenaan segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong bagi mendapatkan bantuan menangkap haiwan liar tersebut.
Ketua BBP Lutong, Henry Jugah, berkata sepasukan anggota dengan sebuah jentera FRT Scania bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 11.28 pagi.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seekor anak biawak berada di dalam tandas rumah pengadu.
“Anggota bertindak menangkap reptilia berkenaan menggunakan penjerut ular,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, operasi tamat sepenuhnya pada 11.46 pagi dan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan dilaporkan.