BAU: Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah, menggesa polis Bau mempergiatkan usaha penguatkuasaan terhadap kegiatan lumba haram, kesalahan narkotik dan perjudian dalam talian.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman, berkata perkara itu antara arahan utama yang disampaikan Zainal semasa lawatan kerja beliau ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, hari ini.
Beliau berkata, Zainal turut mengarahkan polis memastikan setiap laporan yang mempunyai unsur kesalahan jenayah dibuka untuk siasatan serta tindakan susulan yang sewajarnya.
“Warga polis turut digesa meningkatkan pendaftaran dan penggunaan Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Haide berkata, Ketua Polis Sarawak turut menekankan kepentingan memberikan perkhidmatan berkualiti bagi memastikan kepuasan serta mengekalkan kepercayaan penduduk kampung dan masyarakat di Daerah Bau.

Katanya, Zainal turut mengingatkan warga polis supaya melaksanakan tugas dengan penuh keikhlasan, integriti dan dedikasi, selain sentiasa menimba ilmu baharu bagi meningkatkan kemahiran dan kompetensi diri.
Dalam lawatan itu, Zainal dan delegasinya disambut dengan kawad hormat serta persembahan tarian tradisional sebagai tanda alu-aluan sebelum beliau menyampaikan bakul makanan kepada 10 penerima daripada golongan asnaf.
Program turut merangkumi taklimat oleh Haide, diikuti amanat Zainal serta penyampaian cenderahati.
Lawatan yang berlangsung dari tengah hari hingga 2.30 petang itu turut dihadiri pegawai kanan Polis Sarawak, warga IPD Bau, pemimpin masyarakat serta tetamu jemputan.
Oleh Connie Chieng




