SRI AMAN: Seramai 21 warga kerja Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sri Aman menjalani saringan air kencing hari ini sebagai usaha memastikan persekitaran kerja kekal sihat, selamat dan bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Saringan berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sri Aman bagi mengesan sebarang penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan warga kerja.
Program itu pada masa sama bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah serta kepentingan menjauhi gejala berkenaan, khususnya dalam kalangan penjawat awam.

Pelaksanaannya turut mencerminkan komitmen JPJ Sarawak dalam memperkukuh integriti, disiplin dan profesionalisme warga kerja sejajar dengan tanggungjawab mereka sebagai penjawat awam yang berurusan secara langsung dengan masyarakat.
JPJ Sarawak akan terus memberi perhatian terhadap aspek kebajikan, integriti dan kesejahteraan warga kerjanya menerusi pelaksanaan program pencegahan yang bersesuaian.
Usaha berterusan itu penting bagi memastikan tahap profesionalisme warga kerja sentiasa terpelihara, sekali gus menjamin penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat berada pada tahap terbaik.




