MIRI: Tiga ekor burung hantu ‘Collared Scops Owl’ jenis haiwan terlindung sepenuhnya berjaya diselamatkan oleh seorang wanita tempatan di sini, semalam.
Tiga ekor burung tersebut dijumpai di hadapan sebuah kedai di Taman Tunku dan kemudiannya diserahkan oleh wanita tersebut kepada pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut.
Burung tersebut kini diletakkan di Taman Alam Semula Jadi Piasau (Piasau Nature Reserve) di Kem Piasau sebelum dibebaskan ke habitat asal.
Burung hantu adalah haiwan yang dilindungi sepenuhnya di bawah Ordinan Perlindungan. Hidupan Liar 1998
Mana-mana orang yang didapati memelihara spesies yang dilindungi boleh dikenakan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM10,000.
Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad Aton menerusi satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada wanita tersebut atas tindakannya yang sedar dalam melindungi hidupan liar.
“Kesediaan masyarakat untuk menyerahkan haiwan menunjukkan bahawa masyarakat kita pada amnya kini lebih menyedari tanggungjawab mereka dalam menjaga kewujudan hidupan liar kita,” katanya.
Beliau menekankan bahawa haiwan liar sebaiknya dibiarkan tidak terganggu di alam semula jadi sebagai sebahagian daripada komuniti hutan.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai hidupan liar digalakkan untuk menghubungi talian hotline SARAWAK FORESTRY di Kuching (019-8859996, 016-8565564), Sibu (019-8190140, 019-8894474), Bintulu (019-8223449, 019-8332737), atau Miri (019-8224566, 019-8290994).