
LACHAU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah singgah untuk menikmati sarapan di Pekan Lachau semasa dalam perjalanan ke Sri Aman pagi tadi.
Bersama Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah ialah anaknya, Sharifah Nong-Jasima serta suami, Hakeem.
Ketibaan pasangan ini telah disambut mesra oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengunan, Datuk Mong Dagang serta para pemimpin tempatan yang lain.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah dalam perjalanan ke Bandar Simanggang bagi menyempurnakan Majlis Penangguhan Pesta Benak Edisi Ke-22 di Tebingan Batang Lupar pada petang ini.

Persinggahan ini telah menarik perhatian masyarakat setempat yang berpeluang bersalaman dan merakam gambar kenangan bersama Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah.
Tun Wan Junaidi meninjau cadangan tapak baharu untuk penempatan gerai-gerai di pekan tersebut, di samping beramah mesra dengan para peniaga yang menjual pelbagai hasil tani tempatan.
Tun Wan Junaidi menzahirkan harapan agar cadangan pembinaan tapak baharu ini dapat direalisasikan demi memberikan kemudahan yang lebih selesa dan sesuai kepada para peniaga tempatan.
Suasana mesra sepanjang persinggahan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah memberi peluang kepada pemimpin komuniti untuk menyampaikan pandangan serta maklum balas secara langsung kepada Tun Wan Junaidi.