
KOTA SAMARAHAN: Usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti menjala udang di Sungai Lubok Punggor, Simunjan, masuk hari ketujuh semalam namun mangsa masih belum dijumpai.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, mangsa dikenali sebagai Ahmad Alzadkhri Sudin, 32, dilaporkan hilang sejak 15 September lalu ketika keluar menjala udang bersama ahli keluarganya menggunakan perahu di kawasan tebing sungai berkenaan.
Menurut laporan awal, kejadian dipercayai berlaku sekitar 4.00 petang kira-kira 200 meter dari Kampung Lubok Punggor.
Penduduk kampung yang menjalankan pencarian sejurus kejadian turut gagal menemui mangsa.
“Operasi SAR hari ketujuh yang bermula pada 8.15 pagi semalam melibatkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan serta BBP Simunjan dengan kekuatan satu unit Hilux dan bot penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Komander Operasi, TPgB II Christian Olas yang juga Ketua Balai BBP Kota Samarahan, mengetuai operasi berkenaan.
Sehingga operasi ditamatkan petang semalam, mangsa masih belum ditemui dan usaha pencarian akan diteruskan.