
SONG: Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) menyaksikan sebanyak 40 Warta Rizab Komunal Bumiputera diserahkan kepada rumah panjang di tiga kawasan iaitu Beguang, Katibas Hilir dan Embuau/Lajan dengan keluasan tanah 22,638 hektar di Daerah Song.
Selain itu, sebanyak 175 surat hak milik tanah NCR Seksyen 18 KTN diserahkan kepada 126 orang penerima.
Pemilik tanah ini dari kawasan Sipan/Sesawa/Teluk Jambu, Song dan kawasan Sungai Katibas – Nanga Mukeh/Nanga Entuat/Nanga Banin/Nanga Makut, Katibas Tengah.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Len Talif Salleh telah menyempurnakan perasmian majlis tersebut di Balai Raya Song, hari ini.
Len dalam ucapannya berkata kerajaan memandang serius isu tanah dengan memperuntukkan dana untuk membantu pemilik mengukur tanah NCR mereka.
“Jika terdapat sebarang pertikaian di kalangan pihak yang menuntut mengenai sempadan atau pemilikan, mereka mesti menyelesaikannya sebelum Jabatan Tanah dan Survei (JTS) menjalankan kerja-kerja pengukuran.
“Untuk memastikan proses berjalan lancar, kerajaan memerlukan sokongan penuh daripada semua pemilik tanah,” jelasnya.
Beliau berkata, surat hak milik tanah ialah sijil rasmi pemilikan tanah ke atas sebidang tanah dan apabila surat hak milik di tangan, tidak ada pihak yang boleh menceroboh tanah tersebut.
“Tanah adalah aset paling berharga yang diwarisi daripada nenek moyang kita. Nasihat saya, jangan jual tanah anda. Jangan jual untuk keuntungan cepat,” katanya.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan, Penguasa JTS Kapit Sagu Unting, Penolong Pengarah JTS Sarawak Mohd Razali Arshad, Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Ambrose Abong Bugek serta yang lain.
Oleh Akun Giman