
SEMOP: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Mukah menyalurkan dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM30,000 kepada Kampung Sebako dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sebako, semalam.
Daripada jumlah itu, RM10,000 disumbangkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sebako, Daro, manakala RM20,000 lagi kepada SK Sebako.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, berkata inisiatif tersebut menunjukkan JTS bukan sahaja menjalankan fungsi rasmi sebagai agensi kerajaan, malah turut membantu masyarakat secara langsung.
“Sumbangan ini boleh dimanfaatkan untuk menambah baik prasarana kampung serta menyokong pembangunan sekolah, sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak kita sebagai pewaris masa depan.
“Saya berharap kedua-dua sumbangan ini digunakan sepenuhnya demi kepentingan bersama. Kejayaan program pembangunan tidak hanya bergantung kepada kerajaan, tetapi memerlukan kerjasama erat pemimpin masyarakat, pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan dana CSR itu.
Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada JTS Mukah atas komitmen membantu penduduk di kawasan tersebut.
Menurutnya, sumbangan itu diharap memberi manfaat besar dan berpanjangan kepada sekolah serta masyarakat setempat.
Hadir sama Pegawai Daerah Daro, Zul Usup, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Mukah, Dahari Anis serta wakil Pejabat Pendidikan Daerah Daro, Ayub Hassim.
Oleh Tarani Lanting